Syahir Sulaiman

KUALA LUMPUR – Pelbagai tuntutan dan penegasan yang dibangkitkan beberapa negeri kebelakangan ini tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada sistem federalisme negara, sebaliknya perlu ditangani secara matang, berhemah dan berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, federalisme merupakan sistem pemerintahan yang membahagikan kuasa pentadbiran serta perundangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, mutakhir ini timbul pelbagai isu serta tuntutan daripada negeri-negeri yang menyentuh soal hasil, kewangan dan bidang kuasa, termasuk pembayaran lima peratus royalti petroleum kepada Terengganu dan Kelantan berdasarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Selain itu, katanya, turut dibangkitkan ialah tuntutan pemulangan 40 peratus hasil cukai kepada Sabah berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta pelaksanaan penuh hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, antara isu lain ialah cadangan pemulangan 25 peratus hasil cukai kepada Johor seperti dizahirkan Pemangku Sultan Johor, penegasan Sultan Selangor terhadap cadangan penternakan oleh Kerajaan Persekutuan serta titah Tengku Mahkota Pahang supaya negeri itu diberikan layanan dan pertimbangan saksama termasuk berkaitan peruntukan, hasil bumi dan bidang kuasa negeri.

“Tulisan ini tidak berhasrat untuk menilai merit setiap permintaan dan layanan yang diberikan Kerajaan Persekutuan terhadap segala tuntutan ini. Terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

“Namun perlu difahami bahawa setiap permintaan dan tuntutan ini tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada sistem federalisme di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setiap isu membabitkan hasil, kewangan, undang-undang dan bidang kuasa yang timbul perlu dirunding serta dibincangkan secara sepakat demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, perkara itu amat fundamental bagi meningkatkan keupayaan negeri mengurus sumber dan merancang pembangunan, sekali gus merapatkan jurang ekonomi antara wilayah.

“Setiap tindakan dan keputusan berkaitan mestilah dirunding dan dibincangkan secara sepakat, berasaskan semangat federalisme demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast