JOHOR BAHRU – Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Johor di bandar raya ini pada 17 Mei ini merupakan platform penting bagi menentukan hala tuju kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya nanti.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, konvensyen yang akan berlangsung di Persada Johor Bahru itu perlu menjadi medan memperjelaskan kedudukan serta strategi politik semasa melibatkan Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.
“Keadaan politik di Johor ketika ini masih belum memperlihatkan kerangka kerjasama yang benar-benar tersusun dan menyeluruh antara PH dan BN meskipun kedua-duanya bekerjasama di peringkat Persekutuan.
“Konvensyen ini amat penting dalam memberikan hala tuju yang jelas kepada PH menghadapi pilihan raya negeri (PRN) serta pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, konvensyen itu juga sewajarnya menjadi medan untuk memperjelaskan kedudukan dan strategi politik semasa.
Jelasnya, ini termasuk mengambil kira latar belakang tiadanya pembentukan kerjasama rasmi melibatkan Kerajaan Perpaduan di Johor.
Katanya yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, selain itu terdapat keperluan memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.- MalaysiaGazette
















