KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mempersoalkan kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa masih belum menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang walaupun telah dipecat daripada parti itu sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan memaklumkan bahawa Hamzah masih belum menghantar surat peletakan jawatan berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar jawatan tersebut.
Menurutnya, Hamzah sepatutnya sudah lama melepaskan jawatan Ketua Pembangkang sebaik sahaja dipecat daripada parti kerana jawatan itu diperoleh atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bersatu dan wakil blok pembangkang Perikatan Nasional (PN).
“Sepatutnya dia sudah lama meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang sebaik sahaja selepas beliau dipecat daripada parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Johari memaklumkan Dewan Rakyat masih belum menerima surat pemakluman peletakan jawatan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
Jelas Johari lagi, pihaknya masih menunggu maklum balas supaya tindakan lanjut boleh diambil selepas notis pemakluman dibuat oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung PN.
Dalam pada itu, Tun Faisal menegaskan bahawa apabila Hamzah bukan lagi ahli parti, adalah tidak wajar beliau terus memegang jawatan tersebut jika masih mempunyai maruah dan rasa malu.
Tambah beliau, selepas dipecat daripada Bersatu, Hamzah kini hanyalah Ahli Parlimen tidak berparti atau ahli bebas di Dewan Rakyat, sekali gus menimbulkan persoalan prinsip terhadap kelayakannya memegang jawatan strategik itu.
“Secara prinsipnya, seorang Ahli Parlimen bebas tidak sepatutnya memegang jawatan strategik yang diperoleh melalui parti
“Berdasarkan prinsip di bawah Akta Lompat Parti 2022, Ahli Parlimen yang tidak lagi menjadi ahli parti yang diwakilinya sewaktu pilihan raya tidak lagi boleh dianggap mewakili parti tersebut dan sewajarnya ditempatkan di blok Bebas,” ujarnya.
Katanya, adalah tidak wajar seorang Ahli Parlimen bebas terus memegang jawatan Ketua Pembangkang yang sepatutnya dipegang oleh wakil gabungan parti terbesar dalam blok pembangkang.
“Prestasi (Ahli Parlimen) Larut sebagai Ketua Pembangkang juga tidak memberangsangkan sehingga blok pembangkang sering dilihat lemah dan gagal memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan terhadap kerajaan di Dewan Rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan terus memegang jawatan berkenaan walaupun bukan lagi ahli parti yang memberikan mandat sebagai tidak wajar dari sudut politik serta menimbulkan persoalan moral dan integriti.
“Jika Hamzah masih mempunyai maruah dan rasa tanggungjawab terhadap institusi Parlimen, dia sepatutnya sudah lama melepaskan jawatan tersebut dan memberi laluan kepada Ahli Parlimen yang benar-benar mewakili parti serta PN.
“Menjadikan jawatan dan institusi Ketua Pembangkang sebagai jawatan milik peribadi adalah amat memalukan. Cukup-cukuplah gilakan jawatan dan pangkat, serta segala imbuhan yang datang bersama dengan jawatan Ketua Pembangkang tersebut,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, susulan peletakan jawatan itu, beliau mengarahkan Takiyuddin menghantar surat rasmi memaklumkan kekosongan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Malah, Takiyuddin juga sebelum ini memaklumkan Pas sudah mempunyai calon yang sesuai untuk menggantikan Hamzah. – MalaysiaGazette
















