KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengadaptasi pendekatan kepolisan moden yang menekankan penggunaan teknologi serta perkongsian maklumat secara menyeluruh bagi menghadapi cabaran keselamatan masa kini yang semakin rumit dan rentas sempadan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, landskap ancaman keselamatan kini tidak lagi terhad kepada jenayah konvesional semata-mata.
Sebaliknya, menurut beliau, ia turut merangkumi jenayah siber, penipuan kewangan dalam talian serta kegiatan sindiket terancang yang berpotensi menjejaskan kedaulatan negara.
“Justeru, paradigma kepolisan moden harus segera berganjak ke arah integrasi teknologi dan perkongsian maklumat yang lebih holistik bagi memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan,” katanya ketika berucap dalam Program Polis Diraja Malaysia Special Dialogue (PSD V) 2026 di sini, hari ini.

Tambah beliau, tema program, ‘Synergized Policing: Securing the Future Together’ sempena program hari ini amat relevan dan bertepatan dengan situasi keselamatan semasa yang semakin mencabar.
Dalam perkembangan sama, Shamsul Anuar berkata, sebanyak 31 sesi meliputi forum, bengkel teknikal serta pameran telah dianjurkan sepanjang dua hari program tersebut bagi membincangkan penyelesaian terhadap isu keselamatan maritim, dadah dan inovasi dalam penguatkuasaan.
Katanya, program itu juga berjaya menarik lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan serta penglibatan 135 syarikat dari dalam dan luar negara.
“Ini membuktikan kedudukan PSD V sebagai platform berwibawa dalam memacu kolaborasi operasi dan pembangunan dasar keselamatan di peringkat serantau,” ujarnya.
Pada majlis sama, PDRM bersama Universiti Sains Malaysia (USM) turut menandatangani pembaharuan Memorandum Perjanjian (MoA) dalam bidang Sains Forensik.
Menurut Shamsul, kerjasama antara pihak akademik dan industri tersebut merupakan satu pelaburan jangka panjang bagi mempertingkatkan kemahiran teknikal serta kepakaran forensik dalam kalangan warga.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, sinergi berterusan antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan PDRM adalah contoh terbaik dalam mengangkat martabat institusi negara yang tidak hanya terhad kepada fungsi kekuasaan, malah menjangkau kepada aspek akademik dan teknikal.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini menyasarkan kerjasama strategik seumpama itu diperluas antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi penguatkuasaan bagi memartabatkan profesionalisme menerusi pemerkasaan disiplin ilmu.
“Hubungan antara USM dan PDRM bukanlah satu perkara baharu memandangkan kerjasama tersebut telah pun terjalin sejak tahun 2016 serta terbukti memberikan impak positif kepada kedua-dua belah pihak.
“Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan saya harap ia dapat diteruskan sebagai wadah dalam kita mengangkat institusi-institusi dalam negara. Ia tidak terhad kepada kekuasaan semata-mata, tetapi juga pemerkasaan berdasarkan disiplin ilmu dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette
















