KUALA LUMPUR – Dua wanita warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita semasa menggugurkan janinnya, dua tahun lalu.
Philomena Mathias, 83, dan Rusbur Kaur Partab Singh, 73, didakwa bersama-sama menyebabkan kematian wanita berumur 45 tahun yang dilakukan dengan niat hendak menyebabkan keguguran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah klinik di Jalan Changkat Bukit Bintang, pukul 5.30 petang, 22 Oktober 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 314 Kanun Keseksaaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 29 Jun ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri dan peguam George Loh mewakili kedua-dua tertuduh. – MalaysiaGazette
















