SEBERANG PERAI – Keupayaan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengaplikasikan kemahiran dalam projek sebenar terbukti apabila pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP) berjaya menyiapkan tiga gelanggang pickleball menerusi Kursus Mengecat Gelanggang Sukan dengan bimbingan terus daripada pihak industri.
Menerusi kursus itu, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada teori, malah diberi peluang melaksanakan sendiri kerja teknikal bermula daripada penyediaan permukaan lantai, bancuhan bahan, aplikasi lapisan cat sehingga ukuran garisan permainan pickleball mengikut standard industri.
Pengarah PSP, Mohd Ruzi Hamzah berkata, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menjadi bukti pelajar TVET mampu mengaplikasikan kemahiran dipelajari menerusi projek sebenar yang memberi manfaat kepada institusi dan komuniti.
“Pelajar PSP bukan sahaja didedahkan kepada program pengajian masing-masing, malah turut diberi peluang mengikuti teknik dan kursus berfaedah yang mampu meningkatkan kemahiran mereka.

“Kerjasama bersama pihak industri turut membuka ruang kepada pelajar untuk memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan selain meningkatkan kemahiran teknikal mereka secara lebih praktikal.
“PSP menghargai kerjasama strategik yang terjalin bersama pihak industri dalam usaha memperkukuhkan hubungan industri-akademia serta melahirkan graduan TVET yang kompeten dan berkemahiran tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Untuk rekod, program berkenaan dijayakan dengan khidmat kepakaran daripada Bina Paint Industries Sdn. Bhd. melalui tenaga pengajar industrinya, Wan Fadil Aidi Ahmad. – MalaysiaGazette
















