KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemukan maut di dalam longkang sedalam dua meter selepas dipercayai tercampak akibat dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Kapar Batu 5, Klang, Selangor awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.23 pagi.
“Setiba anggota di lokasi mendapati, mangsa berusia lingkungan 30-an berada di dalam longkang sedalam dua meter.
“Anggota bomba kemudian mengangkat mangsa menggunakan stretcher, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer. – MalaysiaGazette
















