BUTTERWORTH – Seorang lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap rakan senegaranya sehingga mangsa lumpuh separuh badan sebelah kanan.
Tertuduh, Mohd Rofik Syukur Mohd, 39, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Shaiful Islam, 42, dengan menggunakan sebatang kayu penggali tanah, iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata serangan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi berhampiran IKS Pala Bukit Tengah, dalam daerah Seberang Perai Tengah pada jam 8.55 pagi, 4 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi.
Hakim kemudian menetapkan sebutan fakta kes dan hukuman esok selepas mengambil kira keperluan jurubahasa Myanmar bagi memastikan tertuduh memahami hukuman dengan jelas.
Mahkamah juga tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, kejadian itu berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang makan semasa tertuduh dan mangsa tinggal bersama sebagai rakan serumah.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka koyakan di kepala, lumpuh separuh badan sebelah kanan, pendarahan otak serta retakan tengkorak. – MalaysiaGazette
















