Foto: FB Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Dua bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan hala tuju politik baharu mereka pada Ahad ini (17 Mei).

Perkara itu dikongsi Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menerusi Facebooknya hari ini.

Menurut Rafizi, tempoh setahun yang lalu telah memberi ruang kepada beliau dan Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa untuk mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor untuk memutuskan hala tuju politik yang seterusnya.

“Pengumuman ini akan dibuat di dalam satu majlis seperti berikut:

“Tempat: PJ Performing Arts Centre (PJPAC), S611, Second Floor, One Utama E, Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya.

“Tarikh: Ahad, 17 Mei 2026. Masa: 2 – 5 petang (Ketibaan orang ramai bermula jam 1 petang),” katanya.

Menurut Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, Majlis pengumuman itu terbuka kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau menjemput seberapa ramai live streamers untuk hadir dan mengadakan live stream majlis itu.

Dalam masa sama, beliau turut menjemput rakyat Malaysia dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang yang mahu menyuburkan aliran politik progresif untuk sama-sama hadir ke majlis itu.

“Untuk memudahkan urusan penganjuran, orang ramai yang berminat untuk hadir boleh mendaftar di pautan, https://forms.gle/NUER91Fcu4KJWRSP8 atau scan QR code.

“Jumpa hari Ahad ini, jam 2 petang di PJPAC atau di live stream,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi memberi bayangan sebarang keputusan sama ada untuk menyertai mahupun menubuhkan parti baharu akan diumumkan selewat-lewatnya Jun ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan politik yang bakal diambil akan memberi kesan kepada rakan-rakan politik baik di peringkat Parlimen mahupun cabang dalam PKR.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi  yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengumumkan peletakan jawatan masing-masing dalam kerajaan berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai tahun lalu, selepas mereka tewas pada pemilihan PKR 2025.

Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast