Foto: FB Muhammad Fauzi Yusoff

GEORGE TOWN – Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami tekanan darah tinggi secara tiba-tiba di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal Bukhori Ghazali berkata Muhammad Fauzi yang juga ADUN Sungai Dua, dilaporkan mengalami sedikit ketidakselesaan sewaktu rehat makan tengah hari tadi.

“Ketika beliau sedang berehat, beliau berasa tidak selesa lalu pergi berjumpa pegawai perubatan bertugas untuk pemeriksaan.

“Tekanan darah beliau lebih tinggi daripada paras normal, jadi dihantar ke HPP untuk pemeriksaan lanjut dan pemantauan,” katanya kepada pemberita di bangunan DUN hari ini.

Bukhori berkata Muhammad Fauzi tidak pengsan atau mengalami simptom serius, namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) beliau perlu dihantar ke hospital demi keselamatan.

“Beliau memberitahu saya tidak mahu dimasukkan ke wad kerana ingin kembali mendengar ucapan penggulungan Ketua Menteri (Chow Kon Yeow),” katanya.

Muhammad Fauzi dalam keadaan baik ketika sesi pagi persidangan DUN berlangsung. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast