KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim tetap memuji skuadnya sekalipun gagal melangkah ke perlawanan akhir Kejuaraan Kelab ASEAN 2025-26.
Menerusi komen di Instagram kelab, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang dipamerkan pemain kendalian Xisco Munoz selain menegaskan pasukan itu akan bangkit lebih kuat musim depan.
“Syabas semua. Bangga dengan semangat juang yang dipamerkan. Kami akan bangkit lebih kuat tahun depan. Kami sentiasa lakukan,” titah Tunku Mahkota Ismail.
Malam tadi, JDT menewaskan Buriram United 2-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Chang Arena, Buriram namun ia belum cukup untuk menyingkirkan kelab Thailand itu yang mara ke final secara agregat 4-3.
Ia kemenangan pertama Harimau Selatan ke atas Buriram United dalam enam pertemuan kedua-dua pasukan selepas sebelum ini JDT tewas tiga kali dan seri dua kali.
Tersingkir daripada Kejuaraan Kelab ASEAN bermakna JDT kini hanya berbaki satu perlawanan musim ini iaitu final Piala Malaysia menentang Kuching City di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Mei ini.
Pada masa sama, Tunku Mahkota Ismail turut mengucapkan tahniah kepada Buriram United menerusi komen di laman Instagram rasmi kelab Thailand itu.
“Tahniah Buriram. Teruskan menjadi inspirasi. Saya belajar daripada anda pada 2017 ketika mengunjungi Buriram dan akan terus berbuat demikian.
“Kita adalah contoh jelas mengenai semangat dan usaha melangkaui batasan bagi kelab Asia Tenggara dalam mencabar gergasi Asia di ACLE. Selamat maju jaya dan menantikan aksi menentang anda lagi pada masa hadapan,” titah baginda. – MalaysiaGazette
















