KUALA LUMPUR – Seorang penuntut kolej didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan membunuh sepasang suami isteri dalam kejadian nahas di Jalan Ampang di sini, awal bulan ini.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Danish Raman Kamar Kumaresan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Menurut setiap pertuduhan, Danish Raman, 24, didakwa membunuh penunggang motosikal A. Doraisingam 61, dan A. Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point pukul 5.30 pagi pada 2 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan boleh dikenakan sebatan minimum 12 kali jika tidak dihukum mati.
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi dan Mohamad Shahrizzat Amadan sementara tertuduh diwakili peguam-peguam Devinder Kaur Dhaliwal dan Mansheel Kaur.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 17 Ogos depan untuk laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Dalam kejadian berhampiran Hospital Gleneagles Ampang itu, motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit dipercayai dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan.
Siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa hingga menyebabkan pasangan berkenaan maut akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu di pekarangan mahkamah, anak saudara mangsa, Suresh Kumar, 47, berkata, mereka sekeluarga tidak mengharapkan apa-apa selain untuk menegakkan keadilan.
“Keluarga tertuduh juga ada memaklumkan hasrat untuk berjumpa dengan kami, namun masih belum berbuat demikian,” ujarnya ketika ditemui selepas selesai kes.
Menurut Suresh, pakciknya memang menghantar isteri ke Hospital Gleneagles untuk bekerja. Mereka mempunyai tiga orang anak berusia di antara 19 dan 26 tahun. – MalaysiaGazette
















