KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malayisa (PDRM) berjaya menumpaskan pelbagai sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang beroperasi di negara ini dengan rampasan aset berjumlah RM57.68 juta menerusi Op Teguh 2.0.
Operasi berskala besar pada 6 hingga 7 Mei lalu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cawangan Khas, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), CyberSecurity Malaysia (CSM) serta Telekom Malaysia (TM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keupayaan dan kesiapsiagaan PDRM dalam melaksanakan tindakan bersepadu demi melindungi masyarakat daripada ancaman sindiket scam antarabangsa.
“Sepanjang operasi ini dijalankan, sebanyak 46 serbuan telah dilaksanakan di beberapa premis kediaman termasuk kondominium mewah di sekitar Lembah Klang.
“Hasil operasi itu, seramai 187 individu telah ditahan membabitkan 151 lelaki dan 36 wanita dari pelbagai warga negara dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian rentas sempadan.
“Tangkapan melibatkan 129 warga China, (23) tempatan, (9) Jepun, (8) Vietnam, (7) Indonesia, 4 (Laos), (3) Thailand dan masing-masing dua tangkapan warga Filipina serta Mnyanmar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Mohd Khalid, pihaknya turut merampas pelbagai aset dan harta dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM57.68 juta.
“Antara rampasan utama membabitkan tiga unit hartanah mewah bernilai RM38 juta, 20 kenderaan mewah termasuk Rolls-Royce Cullinan, Mercedes-Benz G63, Toyota Supra MK4 dan Zeekr 009 Executive bernilai RM6.58 juta.
“Turut dirampas 67 unit barangan mewah melibatkan jam tangan, beg tangan, barang kemas, dompet dan gold bar bernilai RM12 juta, selain 556 unit peranti digital termasuk telefon bimbit, komputer dan komputer riba,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, sindiket berkenaan dikesan menyasarkan mangsa dari pelbagai negara termasuk Hong Kong, China, Korea dan Jepun dengan menggunakan pelbagai modus operandi iaitu pelaburan tidak wujud, phone scam, love scam, dan perjudian dalam talian.
“Untuk Phone Scam, mereka menyamar sebagai pegawai polis Jepun menerusi aplikasi BRIA Mobile, Telegram dan Line, bagi Love Scam mereka memperdaya mangsa melalui hubungan maya dengan menyasarkan warganegara Korea dan Jepun.
“Sehingga kini sebanyak 24 kertas siasatan telah dibuka dan kita masih menjalankan siasatan lanjuy bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sendiket termasuk dalang utama, pengurusan kewangan serta hubungan jenayah rentas sempadan yang terlibat,” ujarnya.
Berikutan itu, kesemua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997. – MalaysiaGazette
















