Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan supaya memperketatkan pemantauan dan kawal selia terhadap projek pembangunan berhampiran kolam takungan air bagi memastikan setiap syarat serta spesifikasi ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, peringatan itu telah diberikan pada tahun 2023 setelah didapati tiada elemen rasuah yang dikenalpasti dalam siasatan ke atas kelulusan projek pembangunan berhampiran kolam takungan air itu.

“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran syarat atau pembangunan yang menjejaskan fungsi kolam takungan air, maka perkara itu berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan.

“Selain perlu memberi penjelasan memandangkan aspek pemantauan, kawal selia dan kelulusan pembangunan adalah di bawah bidang kuasa DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, SPRM sebelum ini telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.

“Pada tahun 2022, SPRM telah membuka kertas siasatan susulan aduan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan beberapa pegawai DBKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL) bagi tempoh antara tahun 2015 hingga 2021.

“Antara dakwaan yang disiasat termasuk penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.

“SPRM juga telah menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan dokumen dan keterangan yang diperoleh sebelum kertas siasatan dilengkapkan pada tahun 2023 dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” jelasnya.

Tambah beliau, bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, tiada unsur rasuah dikenal pasti dan kes telah diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast