Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bergambar bersama penerima-penerima Watikah Pelantikan Duta AI Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 Zon Tengah di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 15 MEI 2026.

SHAH ALAM Kecerdasan buatan (AI) kini dilihat sebagai elemen penting dalam membentuk masa depan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, AI juga menjadi fokus utama dalam Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani Zon Tengah (POLYCC) 2026 hari ini.

“Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah forum Bicara Kepimpinan TVET: Meneroka Peranan AI dalam TVET melibatkan panel kepimpinan pendidikan.

“Forum ini turut disertai wakil Google Malaysia dalam membincangkan bagaimana AI mampu memperkukuh ekosistem TVET negara.

“Ia memberi penekanan terhadap cabaran yang bakal dihadapi pemimpin muda pendidikan tinggi dalam mendepani perubahan teknologi semakin pantas,” katanya ketika berucap pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyampaikan ucapan pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 Zon Tengah di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 15 MEI 2026.

Program anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) itu menghimpunkan kira-kira 300 pensyarah dan pentadbir muda politeknik serta kolej komuniti bagi memperkukuh kesiapsiagaan kepimpinan menghadapi era transformasi digital.

Selain itu, Zambry juga menyentuh hala tuju pendidikan tinggi serta pembangunan bakat kepimpinan muda negara dengan memanfaatkan teknologi AI bermula daripada komuniti politeknik.

“Sebagai permulaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyampaikan Watikah Pelantikan Duta AI AKEPT sebagai simbol komitmen memperluas budaya inovasi dan literasi AI dalam sektor pendidikan tinggi negara.

“Usaha strategik KPT dalam melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing, progresif dan berteraskan nilai Malaysia MADANI selaras dengan aspirasi transformasi pendidikan tinggi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast