KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyifatkan kerajaan mengambil langkah berani berhubung isu pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 yang dibuat pada Mac 2023, sewaktu beliau menjadi Menteri Kesihatan ketika itu.
Menurutnya, langkah itu akhirnya berjaya memayungi keselamatan rakyat di bawah Akta 852 yang sedang berkuat kuasa sekarang.
Bagaimanapun, ujarnya, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan terhadap isu itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang memutuskan tindakan beliau dan kerajaan mengecualikan cecair dan gel rokok elektronik daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah tidak rasional.
Jelasnya, beliau dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan proses perundangan dengan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.
“Proses rayuan ini penting bagi memperbetulkan tafsiran perundangan berhubung kuasa eksekutif Menteri dalam membuat keputusan dasar demi kepentingan strategik negara,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, Zaliha berkata, sebagai Menteri yang bertanggungjawab melaksanakan keputusan tersebut pada ketika itu, beliau terpanggil untuk memberikan pencerahan mengenai rasional di sebalik tindakan yang perlu diambil berdasarkan realiti dan landskap industri pada ketika itu.
Katanya, sebelum Mac 2023, penguatkuasaan di bawah Akta Racun 1952 didapati tidak lagi mampu membendung lambakan produk vape yang berada di pasaran.
Walaupun berstatus racun terkawal, ujar beliau, jualan vape bernikotin berleluasa secara terbuka di pasaran gelap.
“Keputusan ini harus dinilai berdasarkan gambaran yang lebih besar.
“Kita tidak boleh membiarkan industri bernilai berbilion ringgit beroperasi tanpa sebarang rekod, pendaftaran dan pemantauan.
“Pengecualian ini adalah satu langkah kritikal untuk menarik industri ini keluar dari pasaran gelap agar ia boleh diisytiharkan, dipantau rantaian bekalannya dan dikenakan cukai.
“Perkara ini juga telah dibincangkan secara terperinci di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada ketika itu,” katanya.
Tambah Zaliha, bagi menutup kelompangan ini, beliau sendiri telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam di Parlimen pada Jun 2023.
Ujarnya, RUU itu kini telah berkuat kuasa secara rasmi sebagai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Akta itu, jelasnya, bersifat ‘standalone’ bagi mengawal selia produk merokok, peranti vape, cecair nikotin serta menetapkan larangan jualan kepada golongan bawah umur, yang mana sebelum ini dikawal di bawah akta lain, seperti Akta Makanan dan Akta Racun.
“Memandangkan Akta 852 telah beroperasi sepenuhnya, maka lompang perundangan telah diisi.
“Atas dasar itu, peguam kerajaan telah berhujah dengan tepat di mahkamah bahawa kes semakan kehakiman ini sebahagian besarnya telah menjadi akademik dan tidak lagi memberi kesan praktikal kepada ekosistem kesihatan awam semasa.
“Malaysia kini mempunyai ekosistem kawalan tembakau dan peranti vape yang jauh lebih selamat, komprehensif, dan melindungi generasi muda berbanding ketika kita hanya bergantung kepada peruntukan lapuk Akta Racun,” katanya. – MalaysiaGazette
















