Foto UTHM

ALOR SETAR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan pendidikan teknikal negara apabila menerima sumbangan sebuah pesawat tempur A-4 Skyhawk bagi tujuan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan dalam bidang aeroangkasa serta TVET.

Majlis penyerahan dokumen pesawat tersebut berlangsung di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Majlis penyerahan itu diwakili oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha, manakala UTHM pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad, inisiatif itu merupakan langkah strategik UTHM dalam memperkukuh ekosistem pembelajaran berasaskan teknologi gunaan dan latihan industri sebenar kepada pelajar.

“Pesawat tersebut akan ditempatkan di UTHM kampus induk Parit Raja sebagai fasiliti latihan dan pembelajaran yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar dalam bidang teknologi penerbangan, penyelenggaraan pesawat, pembuatan aeroangkasa dan profesional piloting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Empat program akademik di bawah Jabatan Aeronautik UTHM yang bakal memanfaatkan fasiliti itu adalah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Pesawat dengan Kepujian; Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik (Penyelenggaraan Pesawat Terbang) dengan Kepujian; Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dengan Kepujian dan Sarjana Muda Teknologi (Professional Piloting) dengan Kepujian.

Selain itu, pelajar program pembuatan pesawat berasaskan format 3U1i turut berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Operasi Pemesinan CNC bagi menghasilkan komponen sebenar industri penerbangan di Malaysia.

UTHM juga bakal menjadi satu-satunya universiti di negara ini yang mempunyai landasan kapal terbang sendiri di Tanjung Laboh, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju TVET dan aeroangkasa negara.

Pesawat Douglas A-4 Skyhawk yang diterima merupakan pesawat pejuang tempur ringan yang terkenal dengan reka bentuk kompak, ketahanan tinggi dan keupayaan operasi yang cemerlang.

Pesawat sepanjang 12.22 meter itu menggunakan enjin J52-P8A turbojet dengan kelajuan maksimum mencecah 1,100 kilometer sejam.

“Penerimaan aset berimpak tinggi ini dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi strategik antara universiti, industri pertahanan dan sektor aeroangkasa negara dalam usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri masa hadapan,” tambah Ibrahim.

Hadir sama ke majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Hasry Harun; Komandan Kolej Tentera Udara, Brigadier Jeneral Azman Taib; Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Profesor Ts. Dr. Amir Khalid; Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Profesor Dr. Elmy Johana Mohamad serta Timbalan-timbalan Dekan FKMP. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast