Logo Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil langkah tegas dan menyeluruh dalam membanteras gejala buli menerusi penubuhan rasmi Task Force (TF) Anti Buli ATM sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya profesionalisme, disiplin dan tatakelola dalam organisasi pertahanan negara.

ATM dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif yang diilhamkan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman itu telah dizahirkan secara rasmi pada 4 Mei lalu.

Katanya, ia selaras dengan Tonggak Kedua dalam Perintah Ulung beliau di bawah `Tatakelola Tuntas, Integriti Terpelihara’ yang menekankan kepentingan memperkukuh sistem pengurusan organisasi, integriti serta kesejahteraan warga ATM secara menyeluruh.

“PAT menegaskan bahawa budaya buli tidak boleh dikompromi kerana ia bukan sahaja menjejaskan disiplin dan moral anggota, malah berpotensi memberi implikasi terhadap kesiapsiagaan operasi, keberkesanan pemerintahan serta imej institusi pertahanan negara,” katanya.

Tambah kenyataan itu, penubuhan TF Anti Buli ATM bertujuan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa dan trend kes buli dalam ATM.

Katanya, ia termasuk menilai keberkesanan dasar, prosedur operasi standard (SOP), mekanisme pelaporan serta langkah penguatkuasaan sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan sistemik dan ruang penambahbaikan.

Tambahnya, TF Anti Buli ATM itu menghimpunkan wakil daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM melibatkan Darat, Laut dan Udara serta beberapa formasi dan bahagian berkepentingan termasuk aspek Perundangan, Polis Tentera, Psikologi, Kaunseling, Keselamatan dan Pengurusan Risiko.

Foto: FB Angkatan Tentera Malaysia

“Pendekatan bersepadu ini penting bagi memastikan setiap tindakan pencegahan, pemantauan dan pengendalian kes dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, sistematik dan berkesan di semua peringkat organisasi,” katanya.

Sebagai langkah awal, tambah kenyataan itu, analisis menyeluruh terhadap data dan statistik kes buli dari tahun 2022 hingga April 2026 sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti trend semasa, faktor penyumbang serta cabaran pengurusan di peringkat unit dan formasi.

Katanya, usaha tersebut turut melibatkan lawatan lapangan bersasar ke unit-unit yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi memastikan tindakan intervensi dan pemantauan dapat dilaksanakan secara lebih holistik dan berfokus.

Selain itu, ujarnya, ATM juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Strategik Anti-Buli ATM yang akan menjadi panduan komprehensif dalam memperkukuh struktur pelaporan, pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan pencegahan secara berterusan.

“Pelan tersebut dijangka memperkemaskan lagi mekanisme pengurusan disiplin sedia ada demi memastikan persekitaran perkhidmatan yang lebih selamat, profesional dan kondusif kepada seluruh warga ATM,” katanya.

Tambah keyataan itu, bagi memastikan setiap aduan dapat disalurkan secara selamat dan telus, ATM turut menyediakan beberapa saluran rasmi termasuk talian telefon, e-mel rasmi, sistem SISPAA ATM, surat rasmi serta aduan secara bersemuka melalui Bahagian Inspektorat Jeneral ATM.

Katanya, setiap aduan yang diterima akan diteliti dan diuruskan secara profesional tanpa kompromi terhadap mana-mana bentuk pelanggaran disiplin.

“ATM kekal komited memastikan budaya profesionalisme, integriti dan kepimpinan yang sihat terus menjadi teras kekuatan organisasi, selaras dengan aspirasi memperkukuh ATM sebagai institusi pertahanan negara yang berwibawa, dihormati dan sentiasa diyakini rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast