Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke Siew Fook mencadangkan gabungan itu bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan nanti.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, cadangan tersebut susulan Barisan Nasional (BN) di Johor yang mengumumkan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN di negeri tersebut.

“Kita sekarang sudah masuk gelanggang. Kalau BN Johor nak tanding kerusi 56 DUN, saya cadangkan (PH) di Negeri Sembilan tanding 36 kerusi DUN.

“Boleh? Tok Mat boleh (sambil memandang ke arah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang duduk berdekatan).

“Setuju, Johor tanding 56 kerusi DUN, Negeri Sembilan tanding 36 kerusi DUN. Kalau DUN Johor bubar esok, DUN Negeri Sembilan pun kita bubar esok,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam mengumumkan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Menurut Onn Hafiz, keputusan tersebut dibuat selepase mendapat persetujuan pimpinan tertinggi parti.

Terdahulu portal ini melaporkan satu sidang DUN khas akan diadakan pada 24 Jun ini dijangka bagi memberi laluan untuk PRN Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast