JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar mana-mana pihak mengemukakan bukti jika terdapat anggota Jemaah Menteri dalam Kerajaan Madani yang mengaut kekayaan selepas memegang jawatan.
Ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya bukan ‘pasukan yang merompak kekayaan negara’ seperti didakwa pihak tertentu.
“Kita bukan pasukan yang merompak kekayaan negara. Kalau ada menteri yang mengaut kekayaan selepas pegang jawatan, tunjukkan bukti,” katanya.
Anwar mengakui reformasi yang dijanjikan kerajaan belum sempurna dan masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, namun tindakan terhadap golongan elit terlibat rasuah sudah mula dilaksanakan walaupun mempunyai risiko politik.
Beliau berkata, tatakelola yang baik menjadi keutamaan kerajaan dan tiada mana-mana pihak termasuk golongan berpengaruh dibenarkan menyalahgunakan kuasa untuk merompak kekayaan rakyat.
Dalam pada itu, beliau meminta pencapaian ekonomi kerajaan diperjelaskan dengan lebih agresif kepada rakyat kerana banyak kejayaan negara tenggelam akibat serangan politik dan polemik semasa.
Menurutnya, ekonomi negara berkembang 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini walaupun dunia sedang berdepan ketidaktentuan global.
Katanya, kadar pelaburan asing kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah selain kadar pengangguran dan inflasi yang rendah.
“Ini semua mesti diterangkan kepada rakyat secara konsisten,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau turut mempertahankan langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam selepas lebih 12 tahun tiada pelarasan besar dibuat.
Menurutnya, peningkatan gaji itu bagaimanapun perlu disertai dengan perubahan budaya kerja serta peningkatan kecekapan perkhidmatan awam.
“Kalau boleh siap seminggu, jangan tunggu sampai tiga bulan,” tegasnya lagi.
Anwar berkata, kerajaan juga meneruskan agenda pembasmian kemiskinan serta memperkukuh sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Katanya, sebanyak RM5 bilion disediakan menerusi dukungan kerajaan untuk SME manakala RM5 bilion lagi diperuntukkan melalui Bank Negara Malaysia bagi program pembasmian kemiskinan.
Beliau berkata, program berjumlah RM15.5 bilion setahun itu telah dimulakan sejak 2023 dan bukan bermotifkan pilihan raya.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengarahkan media kerajaan memainkan peranan lebih aktif menjelaskan fakta sebenar berkaitan projek dan bantuan kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, terdapat pihak tertentu cuba menukar naratif dengan mendakwa projek Persekutuan sebagai projek kerajaan negeri.
“Saya minta media kerajaan cerita betul. Jangan sampai saya sendiri terpaksa bongkar,” katanya lagi.
Beliau turut mempertahankan beberapa dasar pendidikan dan bantuan sosial yang sering dipolitikkan termasuk isu komuniti India, laluan pendidikan 10A serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Katanya, kerajaan tidak pernah mengkhianati dasar pendidikan kebangsaan dan syarat seperti kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah tetap dikekalkan. – MalaysiaGazette
















