Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani

BATU PAHAT – Seorang pensyarah wanita di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berputih mata apabila wang RM304,427.46 miliknya lesap dalam pelaburan disyaki tidak wujud yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, semuanya bermula apabila wanita yang berusia 50 tahun itu mula tertarik dengan iklan pelaburan menerusi Facebook pada 10 Januari lalu.

“Mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang individu melalui aplikasi whatsApp dan menawarkan untuk menyertai pelaburan yang menjanjikan perolehan keuntungan tinggi serta lumayan.

“Susulan itu, mangsa melakukan transaksi ke dalam 12 akaun bank berbeza secara berperingkat berjumlah RM304,427.46 antara 19 Januari hingga 14 Februari tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimaklumkan memperoleh keuntungan RM116,069.50 sebelum berhasrat untuk mengeluarkannya namun gagal apabila akaun pelaburannya disekat.

“Apabila sampai ke peringkat ini, mangsa baru menyedari telah ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dengan jumlah kerugian RM304,427.46,” katanya.

Menurut Shahrulanuar lagi, berikutan laporan mangsa, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast