Mohd Shahlizam Mohyi bersama-sama penduduk dalam sidang akhbar bertujuan memfailkan saman RM1 juta di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Badan Bertindak Lot Tapak Perumahan Generasi Felda Ulu Tebrau akan mengemukakan tuntutan saman RM1 juta terhadap pemilik akaun Facebook Paku Iman susulan dakwaan memfitnah serta menghasut berkaitan projek perumahan generasi Felda di kawasan itu.

Pengerusinya, Mohd Shahlizam Mohyi berkata, pihaknya mendapati terdapat individu cuba menggagalkan projek perumahan generasi Felda yang sedang dilaksanakan selaras dengan saranan kerajaan negeri.

Beliau berkata, susulan itu ahli jawatankuasa badan bertindak membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan yang didakwa mengeluarkan beberapa kenyataan berunsur fitnah dan hasutan berkaitan permohonan lot tapak perumahan generasi Felda Ulu Tebrau.

“Kami percaya kandungan yang disebarkan itu berpotensi mengundang salah faham, kebencian awam serta menggugat ketenteraman masyarakat di Felda Ulu Tebrau.

“Penyebaran dakwaan palsu ini juga boleh memberi kesan negatif terhadap imej dan kredibiliti badan bertindak,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, laporan dibuat di Balai Polis Ulu Tiram pada 13 Mei lalu dan kertas siasatan juga dimaklumkan dibuka pihak berkuasa.

Shahlizam berkata, individu yang mengendalikan akaun Facebook tersebut juga bukan pemohon lot tapak perumahan generasi Felda Ulu Tebrau.

Jelas beliau, namanya tidak tersenarai dalam permohonan rasmi yang telah dihantar ke Pejabat Tanah Johor Bahru serta pejabat wilayah Felda Johor Bahru pada 16 Oktober tahun lalu.

Pihaknya memohon agar siasatan dan tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun itu mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

“Kami merayu agar perkara ini diberi perhatian serius oleh polis kerana penyebaran maklumat palsu dan fitnah ini menjejaskan imej badan bertindak serta keharmonian masyarakat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, keputusan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa badan bertindak yang diadakan sebelum laporan dibuat.

Katanya, tiga peguam turut dilantik bagi menguruskan pelbagai aspek melibatkan badan bertindak termasuk bahagian perundangan, urusan tanah serta kes jenayah dan sivil.

“Ahli jawatankuasa badan bertindak juga telah memutuskan untuk memfailkan saman terhadap pemilik akaun ‘Paku Iman’ sebanyak RM1 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast