Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad pada prosiding perbicaraan kes atas tiga pertuduhan bersubahat memperoleh rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 05 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 20 Julai ini bagi keputusan sama ada Datin Seri Zizie Izette A. Samad disabit atau dibebaskan daripada tiga pertuduhan bersubahabat menerima wang suapan berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam-peguam M. Athimulan; Datuk Seri K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri.

Pasukan pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri.

Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis tambahan sebelum 9 Julai ini.

Pada 5 Mac lalu, pasukan pembelaan menutup kes selepas mendengar keterangan Zizie Izette selaku saksi tunggal manakala suaminya Allahyarham Bung Moktar Radin selesai memberi keterangan pada 2 September tahun lalu.

Bagaimanapun, pada 16 Januari lalu, mahkamah membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tuduhan rasuah berkenaan selepas pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah pada 3 Mei 2019 atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan Felcra Berhad melabur RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, memperoleh RM2.2 juta daripada Madhi sebagai upah untuk suaminya mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan II.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, selebriti itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.

Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili yang juga ejen pelaburan Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast