Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh.

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berbincang dengan pasukan peguam sebelum memutuskan untuk menghantar surat saman terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan bekas Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR itu yang keluar parti dan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing sudah melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Jelas beliau, kedua-dua bekas pemimpin parti berkenaan juga masih terikat dengan bon parti bernilai RM10 juta walaupun mengumumkan pengosongan kerusi Parlimen sebelum keluar parti.

“Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa mengumumkan bahawa pada 18 Mei, iaitu hari ini mereka akan kosongkan kerusi Parlimen masing-masing dan pada 19 Mei iaitu esok, mereka akan keluar parti.

“Itu cara mereka mengatakan bahawa Akta Anti Lompat Parti itu tidak terpakai. Tetapi saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk Parti Bersama Malaysia. Dalam ‘website‘ Bersama, ‘timestamp‘ (pendaftaran) pada 17 Mei,” katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia di sini, hari ini.

Fuziah Salleh memberi penerangan kepada wakil NGO dalam Program Advokasi Dasar Pengguna Negara 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru hari ini.

Justeru katanya, Akta Anti Lompat Parti masih terpakai kerana mereka dipercayai mendaftar untuk memasuki parti politik lain sebelum mengosongkan kerusi Parlimen secara rasmi.

“Kalau ikut dasar Perlembagaan parti, maka mereka sudah pun lompat parti pada 17 Mei iaitu sebelum mereka mengosongkan kerusi pada hari ini.

“Jadi penasihat undang-undang kami akan kaji perkara tersebut sebelum sebarang tindakan (saman) dibuat terhadap mereka berdua,” katanya.

Ditanya mengenai lima lagi Ahli Parlimen PKR yang bergambar bersama-sama Rafizi dan Nik Nazmi dalam program pengumuman mereka di Petaling Jaya, semalam, beliau memaklumkan, tindakan perundangan juga boleh dikenakan.

“Kita akan bincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Biro Politik PKR esok. Kita akan bincang tindakan ke atas semua (yang terlibat dalam program semalam),” katanya.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan mengumumkan keluar parti dan mendakwa tidak terikat dengan bon RM10 juta parti tersebut.

Rafizi menjelaskan, ini susulan mereka mengambil langkah mengosongkan kerusi masing-masing terlebih dahulu sebelum keluar parti.

Mereka dilaporkan akan menyerahkan surat berhubung kekosongan kerusi mereka kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini.

Surat peletakan jawatan mereka daripada PKR pula akan diserahkan kepada Fuziah esok.

Susulan pengumuman itu, Rafizi dan Nik Nazmi turut memaklumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia daripada pengasas merangkap Presidennya, Tan Gim Theam sebagai platform baharu perjuangan politik mereka iaitu parti yang ditubuhkan pada 2 Disember 2016 dan aktif di Pulau Pinang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast