Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan sudah menghantar surat pemaklumkan kekosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini.

Menerusi kenyataan bersama, Rafizi dan Nik Nazmi berkata, keputusan mengosongkan kerusi parlimen Pandan dan Setiawangsa itu berikutan hasrat mereka untuk meneroka agenda politik yang baru.

“Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih di atas tiket Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum yang lepas.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang telah memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, Pusat Khidmat Pandan dan Setiawangsa akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi-pengundi.

“Kami juga akan kembali bertanding di Parlimen Pandan dan Setiawangsa di atas platform BERSAMA dalam pilihanraya yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Rafizi dan Nik Nazmi tersebut.

“Notis peletakan jawatan daripada DS Rafizi Ramli dan Tuan Nik Nazmi telah diterima oleh Pejabat YPDR. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” katanya ringkas.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, sekali gus keluar daripada PKR.

Serentak itu, mereka turut mengumumkan penyertaan ke dalam Parti Bersama Malaysia berkuat kuasa esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast