Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak mengutuk keras tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli mengosongkan kerusi Parlimen Pandan yang disifatkan sebagai langkah demi memenuhi agenda politik peribadi.

Kenyataan itu disuarakan Setiausaha MPN PKR Sarawak, Mahmud Epah, yang turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang diberikan pada pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, istilah “misi kamikaze” yang digunakan Rafizi bagi menghalalkan langkah beliau menyertai parti baharu adalah satu pengakuan ego yang angkuh serta tindakan bacul yang jelas mengkhianati amanah pengundi Parlimen Pandan.

“Mandat dan undi rakyat bukanlah permainan atau eksperimen murahan yang boleh dibuang, dijual beli, atau diganti sesuka hati apabila cita-cita peribadi tidak tercapai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan, pengundi telah memberikan kepercayaan untuk Rafizi berkhidmat selama satu penggal penuh dan tindakan meninggalkan kerusi di tengah jalan disifatkan sebagai penghinaan besar kepada institusi demokrasi negara.

“Mana mungkin mereka yang terang-terang tanpa segan silu tergamak mengkhianati rakyat demi kepentingan peribadi seperti ini boleh diangkat atau dijadikan pemimpin masa depan,” katanya.

Setiausaha MPN PKR Sarawak, Mahmud Epah
Setiausaha MPN PKR Sarawak, Mahmud Epah

Tambah Mahmud, tindakan tersebut berlaku ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan memerlukan pembelaan, sekali gus menunjukkan keutamaan sebenar yang didakwa lebih menjurus kepada publisiti serta jawatan peribadi.

Beliau turut menegaskan bahawa “drama Rafizi” tidak akan menggoncang kesetiaan serta keutuhan jentera akar umbi PKR Sarawak yang kekal teguh di bawah pimpinan Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat.

Menurutnya, fokus utama pimpinan di Sarawak kekal mempertahankan hak wilayah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta membela kebajikan rakyat, bukannya melayan “drama siri kegagalan individu yang gilakan kuasa”.

Semalam, Rafizi dan dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa hari ini.

Langkah itu dibuat selepas kedua-duanya mengumumkan keluar daripada PKR dan bakal menyertai Parti Bersama Malaysia, esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast