Muhammad Kamil Abdul Munim

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mengesahkan menerima Surat Tuntutan (LoD) daripada Amir Hadi yang mewakili sebuah badan kerajaan (NGO), Mandiri yang diserahkan melalui Tetuan Daim & Gamany.

Katanya, beliau menghormati proses dan pendirian NGO terbabit yang mahu mencari kebenaran dan penjelasan berhubung kenyataanya mengenai aliran dana asing digunakan untuk membiayai propaganda serta kegiatan bertentangan undang-undang.

”Saya kekal menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini bukanlah satu bentuk tekanan politik atau serangan terhadap kumpulan masyarakat sivil. Saya mengiktiraf peranan masyarakat sivil sebagai rakan penting dalam pembangunan negara dan pengukuhan demokrasi.

”Saya percaya perkara ini sebenarnya boleh sahaja diperjelaskan melalui penjelasan balas kepada dakwaan yang berlegar. Namun jika tindakan mahkamah menjadi pilihan untuk menyelesaikannya, maka saya tiada halangan dan berbesar hati untuk menuruti proses ini dengan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/19/mandiri-tuntut-kamil-mumin-mohon-maaf-atau-berdepan-saman-rm10-juta/

Terdahulu, Amir yang merupakan Pengarah Eksekutif Mandiri memaklumkan NGO berkenaan menuntut saman RM10 juta susulan dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat Kamil pada 17 Mei lalu.

Katanya, ia berhubung kenyataan yang mengaitkan Mandiri dengan penerimaan dana asing, dengan tujuan antara lain untuk propaganda politik, operasi tentera siber, mencatur naratif politik domestik, ancaman keselamatan negara serta proksi kepada kuasa asing.

Selain itu, Amir mendakwa, Muhammad Kamil turut menyebut bahawa terdapat tujuh transaksi sebanyak RM686,729 dibuat kepada Pengarah Eksekutif Mandiri serta beberapa yang lain yang turut dikaitkan dengan Mandiri.

Dalam pada itu, Kamil sekali lagi menegaskan, isu yang dibangkitkan beliau adalah tanggungjawab untuk mendapatkan penjelasan terhadap dakwaan khusus berkaitan penyelewengan yang telah tersebar kepada umum.

”Sepanjang ini juga, kami sering diserang dan digambarkan seolah-olah sebuah rejim yang zalim serta menindas.

”Namun hakikatnya, ruang untuk Mandiri dan pelbagai organisasi masyarakat sivil terus bersuara, mengkritik malah menyerang samada pemimpin mahupun institusi negara tetap terbuka dan tidak pernah dihalang bahkan jauh lebih baik daripada regim pemerintah sebelum ini,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast