Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2 025 di Dewan De' Seri Endon Puspanitapuri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Mei 2026.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus mencatat pencapaian membanggakan menerusi peningkatan kedudukan pasport Malaysia serta pengurusan imigresen lebih cekap dan sistematik sepanjang 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan kedudukan Pasport Malaysia Antarabangsa dari tangga ke-10 pada 2024 kepada tangga ketiga dunia pada 2025 dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia.

“Kejayaan itu dilihat sebagai satu pengiktirafan besar kepada Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang progresif, stabil dan semakin.

“Malah Malaysia semakin diyakini di peringkat global meskipun bersaiz sederhana dari sudut ekonomi dan populasi,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM 2025 di sini hari ini.

Selain itu, kata Saifuddin, JIM juga berjaya menguruskan lebih 115 juta pergerakan keluar masuk melibatkan warganegara serta bukan warganegara di semua pintu masuk negara.

“Lebih 43 juta merupakan pelawat asing, meningkat berbanding 39 juta pada tahun sebelumnya. Ia sekali gus menunjukkan Malaysia terus menjadi destinasi utama bagi sektor pelaburan, perdagangan dan pelancongan antarabangsa.

“Peningkatan ketibaan pelawat asing itu turut mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan negara serta kecekapan pengurusan pintu masuk negara,” katanya.

Dalam tempoh sama, katanya, JIM turut memainkan peranan penting sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 apabila berjaya mengurus kemasukan ketua-ketua negara dan delegasi asing tanpa sebarang insiden buruk.

“JIM turut mengurus hampir 2.4 juta pemegang pas jangka panjang, terdiri daripada pekerja asing, pelajar antarabangsa dan ekspatriat yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Lebih membanggakan  JIM berjaya merekodkan pungutan hasil sebanyak RM5.2 bilion bagi 2025.

“Ia sekali gus membuktikan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta komitmen tinggi seluruh warga JIM di semua peringkat.

“Semua pencapaian itu memperlihatkan keupayaan JIM dalam memperkukuh keselamatan sempadan negara, mempertingkat mutu perkhidmatan awam serta menyokong agenda pembangunan dan hubungan antarabangsa negara secara berterusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast