Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasa Dikenang 2026 di BHEUU, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 19 MEI 2026.

PUTRAJAYA – Cadangan adangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun perlu dilihat dalam konteks memperkukuh reformasi institusi negara bukan sekadar perdebatan politik semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, pindaan membabitkan had tempoh jawatan Perdana Menteri itu antara pembaharuan besar yang memerlukan sokongan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan sistem pentadbiran negara terus kekal seimbang dan berfungsi secara lebih telus pada masa depan.

“Kita mahu semua pihak melihat cadangan ini secara matang kerana ia melibatkan masa depan sistem demokrasi dan institusi negara.

“Ini bukan soal individu atau parti politik tertentu, tetapi usaha memperkukuh institusi untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Jasamu Dikenang 2026 Kluster Undang-Undang dan Reformasi Institusi Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Azalina berkata, kerajaan masih komited meneruskan agenda reformasi institusi termasuk usaha membawa semula pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri.

Katanya, pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat dan kehadiran Ahli Parlimen ketika proses pengundian amat penting bagi menentukan kelulusan sesuatu RUU.

Beliau turut menegaskan, reformasi institusi memerlukan komitmen politik yang konsisten dan tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan.

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun sebelum ini antara agenda utama reformasi institusi yang dibawa kerajaan Madani.

Bagaimanapun, usaha meluluskan pindaan Perlembagaan berkaitan perkara itu sebelum ini gagal memperoleh sokongan mencukupi di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast