JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan kerajaan negeri bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewujudkan Pusat Kaunseling Keluarga Komuniti di setiap daerah.
Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini bagi membantu ibu bapa dan remaja mendapatkan khidmat sokongan berkaitan kesihatan mental serta isu ketagihan digital.
“Selain itu, kempen Zon Bebas Peranti atau Offline to Reconnect perlu diperluaskan dalam komuniti dan institusi keluarga bagi menggalakkan komunikasi secara bersemuka, aktiviti riadah serta pengukuhan hubungan kekeluargaan yang semakin terhakis akibat ketagihan gajet.
“Pejuang Johor juga menggesa agar pendidikan literasi digital, keselamatan siber dan kesedaran kesihatan mental diperkasakan di sekolah supaya pelajar lebih memahami risiko dunia maya serta mampu mengurus tekanan emosi dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, masa depan Johor tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi kepada kekuatan mental dan kesejahteraan generasi muda yang bakal memimpin negeri ini pada masa hadapan.
Pejuang Johor menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, masyarakat dan kerajaan agar berganding bahu dalam memastikan anak-anak Johor membesar dalam persekitaran yang sihat, selamat dan penuh kasih sayang.
“Kurangkan skrin, lebihkan komunikasi dan kasih sayang demi masa depan generasi Johor yang lebih sejahtera,” katanya.
Menurut Suraya, cadangan itu wajar kerana peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan akibat pengaruh media sosial, buli siber serta ketagihan penggunaan gajet dan dunia digital yang tidak terkawal.
“Perkembangan teknologi sememangnya membawa banyak manfaat kepada masyarakat, namun dalam masa yang sama turut memberi kesan besar terhadap kesejahteraan emosi dan mental anak-anak sekiranya tidak dipantau dengan baik.
“Hari ini, ramai remaja berdepan tekanan emosi, kegelisahan dan kemurungan akibat budaya perbandingan hidup di media sosial serta pengaruh negatif dunia maya,” katanya.
Pejuang Johor melihat institusi keluarga kini semakin terjejas apabila komunikasi sesama ahli keluarga semakin berkurangan.
Walaupun berada di rumah yang sama katanya, ramai lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding meluangkan masa bersama keluarga.
Keadaan itu katanya, secara tidak langsung memberi kesan terhadap perkembangan emosi anak-anak dan hubungan kekeluargaan.- MalaysiaGazette
















