GOMBAK – Sebanyak 14,885 notis saman dikeluarkan kepada lori, treler serta kenderaan barangan menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara melibatkan pelbagai kesalahan kategori lebih muatan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, selain tindakan saman pihaknya juga melakukan sitaan terhadap 753 kenderaan yang melanggar syarat permit dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD 2010).
Menurutnya, Pulau Pinang adalah negeri yang merekodkan jumlah sitaan tertinggi, diikuti Selangor (125) dan Pahang (101).
“Operasi khas ini dilaksanakan secara bersepadu dan bersasar melibatkan kenderaan seperti lori, treler, serta kenderaan barangan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara dan pematuhan undang-undang dipertingkat secara menyeluruh,” katanya ketika sidang media.
Menurut beliau, berdasarkan statistik penguatkuasaan dari tahun 2024 hingga April tahun ini sebanyak 2,580,954 kenderaan perdagangan telah diperiksa di seluruh negara melibatkan pelbagai kategori kesalahan lebih muatan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 415,846 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tambah Muhammad Kifli berdasarkan statistik saman JPJ(P)22 sebanyak 45,986 notis telahdikeluarkan pada 2024, dan meningkat kepada 57,174 notis tahun lalu.
Beliau menegaskan, JPJ akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan menerusi operasi berfokus, pemantauan berterusan serta penggunaan teknologi penguatkuasaan semasa bagi meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang serta mengabaikan aspek keselamatan jalan raya akan dikenakan Tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” tambahnya.
Sebagai rekod, Ops Khas Kenderaan Perdagangan dijalankan untuk membanteras kesalahan lebih muatan, pelanggaran syarat permit serta ketidakpatuhan teknikal melibatkan kenderaan perdagangan. -MalaysiaGazette
















