Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Shasta Selangor, Ram G.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Shasta Selangor mahu kerajaan mengambil pendekatan lebih agresif dan menyeluruh dalam membanteras kegiatan pemberi pinjaman wang haram atau along yang disifatkan semakin ‘bermaharajalela’ menerusi platform digital.

Pengasas dan Pengerusinya, Ram G berkata, walaupun pertubuhan itu sudah ditubuhkan sejak 2019 bagi membantu mangsa pinjaman tidak berlesen, isu berkenaan sehingga kini masih gagal ditangani sepenuhnya malah dilihat semakin serius pasca pandemik Covid-19.

Menurut beliau, kegiatan along kini tidak lagi bergerak secara tradisional menggunakan samseng jalanan semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi sindiket moden yang memanfaatkan teknologi, media sosial dan aplikasi mudah alih untuk memerangkap mangsa.

“Along sekarang bukan tunggu orang datang cari mereka. Mereka cari rakyat terus melalui telefon bimbit, TikTok, Facebook dan aplikasi mesej.

“Ini yang membimbangkan kerana sasaran mereka bukan lagi golongan tertentu sahaja tetapi sesiapa yang sedang terdesak dengan masalah kewangan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan membabitkan mangsa daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam, pekerja kilang, graduan muda, ibu tunggal dan peniaga kecil.

Ujarnya, ramai mangsa pada mulanya hanya membuat pinjaman kecil namun akhirnya terjerat dengan kadar faedah melampau sehingga hutang meningkat berkali ganda dalam tempoh singkat.

“Ada mangsa pinjam RM500 tetapi akhirnya terpaksa bayar beribu-ribu ringgit. Bila gagal bayar, keluarga pula jadi sasaran ugutan.

“Majikan dihubungi, gambar disebarkan, nombor telefon ahli keluarga dimuat naik. Tekanan mental yang mereka hadapi sangat serius,” jelas beliau.

Ugutan oleh ahlong bukan sahaja terhadap mangsa tetapi juga ahli keluarga dan kenalan.

Ram berkata, antara cabaran terbesar ketika ini ialah masih ramai mangsa takut tampil mendapatkan bantuan kerana malu dan bimbang dipandang serong masyarakat.

Menurut beliau, stigma bahawa mangsa along terdiri daripada kaki judi atau individu tidak bertanggungjawab perlu dihentikan kerana realitinya ramai hanya mahu meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi semakin mencabar.

“Ramai sebenarnya rakyat biasa yang tersepit dengan kos sara hidup, komitmen bulanan dan peluang pekerjaan yang tidak stabil.

“Bila akses pinjaman sah sukar diperoleh, mereka mudah terpedaya dengan tawaran ‘pinjaman lulus segera’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan memperketat pemantauan terhadap iklan pinjaman di media sosial termasuk mewajibkan platform digital menapis kandungan berkaitan pinjaman tidak berlesen.

Selain itu katanya, kerjasama lebih menyeluruh antara polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia serta platform media sosial perlu diperkukuh bagi mengekang operasi sindiket.

Beliau turut mencadangkan satu pusat bantuan khas diwujudkan bagi membantu mangsa mendapatkan nasihat kewangan, perlindungan keselamatan serta sokongan emosi.

“Isu along bukan sekadar soal hutang. Ia sudah jadi masalah sosial dan kesihatan mental yang boleh memusnahkan keluarga.

“Kalau tiada tindakan lebih tegas dan tersusun, sindiket ini akan terus berkembang kerana mereka tahu masih ramai rakyat yang terdesak,” katanya.

Tambah beliau, Pertubuhan Shasta Selangor selepas ini juga mahu memainkan peranan lebih aktif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat termasuk mendidik golongan muda mengenai risiko pinjaman haram dan penipuan kewangan digital. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast