PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi sedang meneliti konsep Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang tidak lagi menggunakan klasifikasi B40, M40 dan T20 bagi mendepani tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia kerana kaedah itu akan menggunakan pengiraan kelayakan bantuan yang mengambil kira pendapatan boleh guna bersih dan komitmen sebenar isi rumah.

Langkah itu dilihat pendekatan lebih adil dan menyeluruh dalam menentukan kelayakan bantuan serta subsidi rakyat.

“Perkiraan itu dibuat berdasarkan keadaan sebenar kehidupan dan komitmen seseorang termasuk tempat tinggal, jumlah anak serta jurang pendapatan.

“Oleh itu, perbincangan ini mengambil kira kewajaran kehidupan individu tersebut dari sudut tanggungan yang bersifat spesifik,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Akmal Nasrullah menambah, perbincangan pelaksanaan PAWK masih peringkat dalaman dan belum melibatkan keputusan dasar kerajaan.

Ia  kerana, katanya, sebarang perubahan berkaitan kaedah penilaian sosioekonomi rakyat termasuk sama ada melibatkan klasifikasi B40, M40 atau T20 perlu melalui pertimbangan bersama di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jemaah Menteri.

Pada masa sama, beliau berkata, data daripada sistem Pangkalan Data Utama (PADU) turut digunakan sebagai input tambahan bagi membantu simulasi dan penilaian berkaitan kemampuan hidup rakyat secara lebih komprehensif.

Katanya, langkah itu penting terutama jika ketidaktentuan ekonomi global terus berlarutan, supaya sebarang dasar yang dirangka tidak membebankan kumpulan isi rumah yang benar-benar terkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast