AMPANG JAYA – Seorang penjaga rumah kebajikan yang didakwa terbabit dalam skandal penderaan seksual kanak-kanak di Batu Caves dekat sini dipenjara 11 tahun dan dikenakan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan seksual membabitkan dua kanak-kanak lelaki.
Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Retna Velu, 25, selepas kesemua pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Tamil.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie.
Suasana mahkamah turut bertukar emosional apabila beberapa ahli keluarga mangsa yang hadir dilihat menitiskan air mata sejurus tertuduh mengaku bersalah.
Tertuduh pula kelihatan menangis sambil cuba bercakap sesuatu dipercayai bagi meraih simpati sebelum ditegur supaya tidak bersuara sepanjang prosiding berlangsung.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal, bukan fizikal serta seks luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun ketika kejadian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Selayang antara Februari hingga Mac tahun lalu.
Bagi tiga pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan manakala pertuduhan lain masing-masing mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14(b) dan Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi lima pertuduhan manakala satu lagi pertuduhan dikenakan hukuman penjara tanpa sebatan.
Norshila turut memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
Bagaimanapun, Nadiah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam selain meminta hukuman penjara dikenakan secara berasingan terhadap semua pertuduhan.
Peguam pemerhati bagi Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, Kirthen Subramaniam bersama Premila Subramaniam berkata, pengakuan bersalah tertuduh sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarga mangsa.
“Bagi pihak keluarga, ini memberi sedikit penutupan kes kerana tertuduh akhirnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi.
“Namun ada juga keluarga yang berpandangan hukuman dikenakan mungkin boleh dipertingkatkan dan kini terpulang kepada pihak pendakwaan sama ada mahu mengemukakan rayuan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Menurutnya, tertuduh setakat ini sudah mengaku bersalah terhadap 15 pertuduhan keseluruhannya dan masih berdepan sembilan lagi pertuduhan berkaitan kesalahan sama dengan prosiding jatuh hukum ditetapkan pada 4 Jun depan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendakwa menjadi mangsa liwat di sebuah rumah kebajikan di Batu Caves sejak dua tahun lalu.
Mangsa dipercayai antara lebih 20 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 17 tahun yang didakwa menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan terbabit yang beroperasi sejak sedekad lalu.
Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S. Maran sebelum ini mendakwa selain pengasas rumah kebajikan berkenaan, terdapat beberapa pembantu lain yang turut dikaitkan dengan kes amang seksual melibatkan ramai mangsa kanak-kanak. – MalaysiaGazette
















