Peguam pemerhati, S Kirthen berjumpa dengan keluarga mangsa selepas Mahkamah Sesyen Ampang menetapkan keputusan 11 tahun penjara dan 5 sebatan terhadap seorang penjaga pusat jagaan kanak-kanak yang mengaku bersalah atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki, ketika di Mahkamah Ampang. Foto SADIQ SANI, 21 MEI 2026.

AMPANG JAYA –  Suasana di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini bertukar emosional apabila ahli keluarga mangsa gagal menahan emosi  selepas seorang penjaga rumah kebajikan dipenjara 11 tahun serta dikenakan lima sebatan atas enam kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Ada dalam kalangan ahli keluarga mangsa mempersoalkan keputusan mahkamah yang memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak meskipun kesalahan dilakukan terhadap dua mangsa berbeza.

Mereka menyifatkan hukuman itu terlalu ringan berbanding trauma dan penderitaan yang terpaksa ditanggung mangsa sepanjang hidup.

“Perbuatan itu sangat durjana. Kehidupan mereka sudah berubah dan trauma ini akan menghantui mereka sampai bila-bila,” luah seorang ahli keluarga sejurus prosiding selesai hari ini.

Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Norshila Kamaruddin terhadap tertuduh, Retna Velu, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan membabitkan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki.

Sebelum hukuman dijatuhkan, ibu dan ibu saudara mangsa tampil membacakan kenyataan impak mangsa di hadapan mahkamah dengan nada sebak.

Ibu kepada seorang mangsa berkata, anaknya kini menjadi pendiam selain sering berada dalam ketakutan selepas melalui kejadian itu.

“Dia mengalami trauma dan tidak lagi seperti dahulu,” katanya sambil menangis.

Tertuduh yang memakai kemeja-T biru pula hanya berdiri tegak dan lebih banyak mendiamkan diri sepanjang prosiding berlangsung.

Pada satu ketika sebelum hukuman dijatuhkan, hakim bertanya sama ada tertuduh ingin merayu bagi mengurangkan hukuman.

Dengan nada tenang, tertuduh menjawab: Ya, tolong kurangkan hukuman. Saya hanya pemandu lori”.

Hakim kemudian bertanya semula sama ada itu sahaja yang mahu diperkatakan namun tertuduh terus berdiam diri tanpa menunjukkan sebarang reaksi lain.

”Tidak ada rayuan lain? Tidak ada anda sudah insaf dan sebagainya?” soal hakim.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bukan fizikal serta perbuatan seksual bertentangan aturan tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah kebajikan di Batu Caves dekat sini antara November tahun lalu hingga Mac lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi lima pertuduhan manakala satu lagi pertuduhan dikenakan hukuman penjara tanpa sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan.

Peguam pemerhati bagi Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, Kirthen Subramaniam berkata, terdapat ahli keluarga mangsa yang masih kecewa dengan hukuman dikenakan.

“Bagi pihak keluarga, pengakuan bersalah ini memberi sedikit penutupan kes namun ada yang berpandangan hukuman boleh dipertingkatkan.

“Ia kini terpulang kepada pihak pendakwaan sama ada mahu mengemukakan rayuan atau sebaliknya,” katanya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tindakan seksual terhadap dua kanak-kanak, penjaga rumah kebajikan dihukum penjara 11 tahun, 5 sebatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast