Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa menunjukkan motosikal yang dirampas selepas sidang media berkaitan tangkapan dan rampasan kes curi motosikal melibatkan Geng Hadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Geng Hadi susulan penahanan enam lelaki tempatan berusia antara 15 hingga 33 tahun dalam beberapa serbuan sekitar ibu negara.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Jasni Zolpa berkata, kesemua suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah itu sejak awal tahun ini dengan menyasarkan pelbagai jenis motosikal di kawasan sekitar Sentul.

Menurut beliau, penahanan dibuat selepas pihak polis menerima laporan kehilangan sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik seorang lelaki berusia 55 tahun yang bekerja sebagai penghantar surat pada 13 Mei lalu.

“Bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan, pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menahan enam lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar kawasan IPD Sentul,” katanya dalam sidang media hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa bercakap pada sidang media berkaitan tangkapan dan rampasan kes curi motosikal melibatkan Geng Hadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Mei 2026

Beliau berkata, permohonan reman terhadap semua suspek telah dibenarkan selama enam hari bermula 17 hingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Menurut Jasni, hasil siasatan lanjut oleh Cawangan A4 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul turut membawa kepada rampasan dua motosikal, lima rangka motosikal dalam keadaan tidak sempurna, satu rangka motosikal serta dua telefon bimbit.

“Hasil tangkapan dan rampasan ini berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal di sekitar Sentul dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM50,000,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati motosikal yang dicuri akan dibawa ke sebuah stor kosong sebelum dileraikan untuk mendapatkan komponen motosikal bagi tujuan dijual atau digunakan sendiri.

“Rangka motosikal yang telah dileraikan akan dipotong dan dibuang di kawasan Kepong,” katanya.

Jelas beliau lagi, kumpulan tersebut menyasarkan motosikal jenis Honda EX5, Modenas dan Honda RSX yang kebanyakannya diletakkan di kawasan perumahan, rumah pangsa dan tepi jalan.

Dalam pada itu, Jasni berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi motosikal manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.

“Setakat ini semua ahli kumpulan yang dikenal pasti telah ditangkap termasuk ketua geng dikenali sebagai Hadi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan salah seorang suspek yang ditahan berusia 17 tahun dan tidak bersekolah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast