MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Program Kebersihan Bangunan Penginapan Jemaah Haji di Makkah dan Program Kebersihan Masyair sebagai usaha berterusan memastikan tahap kebersihan, kesihatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci.
Program ini telah diperkenalkan sejak tahun 2017 dan mendapat pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi sebagai inisiatif nilai tambah oleh jemaah haji Malaysia dalam meningkatkan standard kebersihan operasi tahunan di Tanah Suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menetri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program tersebut mencerminkan komitmen TH dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan jemaah secara menyeluruh.
Menurutnya, kebersihan bukan sahaja aspek penting dalam pengurusan operasi haji, malah merupakan tuntutan agama dan manifestasi keimanan seorang Muslim.

“Kebersihan adalah sebahagian daripada ibadah dan akhlak seorang Muslim. Ibadah haji bukan sekadar perjalanan menuju Kaabah, tetapi proses mendidik jiwa supaya lebih beradab terhadap manusia dan persekitaran,” katanya ketika melancarkan program itu di sini.
Beliau berkata, persekitaran penginapan dan kawasan ibadah yang bersih serta teratur dapat membantu jemaah melaksanakan ibadah dengan lebih selesa, selain mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit dan isu kesihatan awam khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti masyair.
Usaha itu juga selari dengan aspirasi Kerajaan Arab Saudi menerusi Visi Saudi 2030 dalam meningkatkan standard kebersihan dan pengurusan persekitaran di Tanah Suci.
Untuk Program Kebersihan di Makkah, fokus diberikan kepada kebersihan bilik penginapan, ruang awam dan surau, pengurusan sisa pepejal serta makanan, selain meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan tandas dan kawasan lif.
Katanya, penglibatan aktif Sahabat Maktab dan petugas kebajikan turut diperkasakan menerusi advokasi kebersihan dalam kalangan jemaah.
Program Kebersihan Masyair pula memberi penekanan terhadap pengurusan sampah secara sistematik, kebersihan khemah dan laluan pejalan kaki, pengurangan pembaziran makanan serta kesedaran penggunaan tandas secara berhemah.
Menurut Zulkifli, aspek tersebut amat penting memandangkan kawasan masyair seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina merupakan lokasi berkepadatan tinggi yang memerlukan disiplin kebersihan yang tinggi, khususnya ketika cuaca panas dan kesesakan jemaah.
Beliau berharap kedua-dua program itu dapat membudayakan amalan kebersihan sebagai identiti jemaah haji Malaysia serta menjadi contoh terbaik dalam aspek kebersihan, disiplin dan kesejahteraan jemaah.
“Kadangkala menjaga kebersihan bukan bermula dengan program besar, tetapi bermula dengan satu tangan yang mengutip sampah kerana cinta kepada Allah dan hormat kepada tetamu-Nya,” katanya. – MalaysiaGazette
















