Sebahagian graduan pada majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Program Akademi Dalam Industri (ADI) – Laluan Diploma Profesional Luar Negara.

KUALA LUMPUR – Seramai 312 graduan daripada 20 syarikat pelbagai sektor berjaya menamatkan pengajian Laluan Diploma Profesional Luar Negara Akademi Dalam Industri (ADI) dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Program Akademi Dalam Industri (ADI) – Laluan Diploma Profesional Luar Negara yang berlangsung di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertemakan “Membangunkan Bakat Tempatan untuk Tenaga Kerja Masa Depan” itu membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan industri dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang lebih berkemahiran, produktif dan memenuhi keperluan sebenar industri.

Akademi Dalam Industri (ADI) merupakan inisiatif strategik negara yang memperkenalkan konsep pembelajaran berasaskan industri menerusi pendekatan “place and train”, iaitu pembelajaran sambil bekerja.

Model ini membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran serta memperoleh pengiktirafan akademik profesional tanpa perlu meninggalkan pekerjaan sedia ada.

Penyertaan graduan daripada sektor perkilangan, teknologi, logistik, perkhidmatan dan sektor berkaitan mencerminkan komitmen tinggi pihak industri dalam memperkukuh pembangunan bakat tempatan serta mempercepat transformasi tenaga kerja negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berasaskan produktiviti.

Dalam ucaptama majlis, Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin menegaskan bahawa kekuatan ekonomi masa hadapan negara tidak lagi bergantung kepada kuantiti tenaga kerja semata-mata, tetapi kepada keupayaan Malaysia melahirkan tenaga kerja bernilai tinggi, berkemahiran dan berproduktiviti tinggi.

Sim Tze Tzin

Beliau berkata, pembangunan modal insan berkualiti menjadi faktor kritikal dalam memastikan Malaysia kekal berdaya saing ketika dunia berhadapan perubahan teknologi pesat termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan industri.

“Malaysia perlu bergerak pantas membangunkan bakat tempatan yang mampu memenuhi tuntutan industri masa hadapan. Pendekatan pembelajaran berasaskan industri seperti ADI menjadi antara platform penting dalam mengurangkan jurang kemahiran serta mempercepat pembangunan tenaga kerja kompetitif dan produktif,” katanya.

Selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030), kerajaan menyasarkan peningkatan pekerja mahir kepada 35 peratus, pertumbuhan produktiviti tahunan sebanyak 3.6 peratus serta peningkatan gaji dan pampasan pekerja sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030.

Prestasi ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025 berdasarkan World Bank Malaysia Economic Monitor 2026 serta pertumbuhan 5.3 peratus bagi suku pertama tahun 2026 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan keperluan mendesak untuk negara terus memperkukuh pembangunan bakat berkemahiran tinggi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan produktiviti negara.

Pada masa sama, pencapaian perdagangan negara yang melepasi RM3 trilion buat pertama kali pada tahun 2025 turut membuktikan peningkatan kapasiti ekonomi negara yang memerlukan tenaga kerja lebih kompeten, adaptif dan bersedia menghadapi perubahan teknologi global.

Melalui pelaksanaan ADI, graduan bukan sahaja memperoleh peningkatan kemahiran dan pengiktirafan profesional, malah turut menikmati peningkatan kebolehpasaran, peluang kerjaya lebih berkualiti dan potensi peningkatan pendapatan.

Antara graduan cemerlang pada majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Program Akademi Dalam Industri (ADI) – Laluan Diploma Profesional Luar Negara.

Bagi pihak industri pula, model pembelajaran berasaskan industri ini membantu syarikat mengurangkan kos latihan, mempercepat pembangunan bakat dalaman, meningkatkan pengekalan pekerja serta memastikan pembangunan tenaga kerja lebih selari dengan keperluan operasi dan teknologi semasa.

Sebagai peneraju agenda produktiviti negara, MPC akan terus memperluaskan pelaksanaan pendekatan pembelajaran berasaskan industri bagi memastikan Malaysia memiliki bakat tempatan yang mampu menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti, daya saing industri dan emakmuran ekonomi negara secara mampan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast