Keadaan kenderaan yang remuk akibat kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya SILK arah Kajang, malam tadi. Gambar: Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk pasangan suami isteri warga emas cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 3.5 Lebuhraya SILK arah Kajang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.10 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, sebuah kereta yang datang dari arah Kampung Baru Balakong menuju ke Kajang dipercayai dipandu laju ketika menuruni bukit sebelum hilang kawalan.

“Kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah lagi kereta yang berada di lorong tengah Lebuhraya SILK arah Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pasangan suami isteri warga tempatan berusia 60 dan 61 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan.

Dalam kejadian sama, ujarnya, pemandu kereta lelaki tempatan berusia 35 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 bulan serta denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast