Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar

SHAH ALAM – Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan sesi meja bulat bersama wakil pengurusan kuil, pertubuhan agama dan pemimpin masyarakat sebelum sebarang keputusan berkaitan garis panduan rumah ibadat bukan Islam dimuktamadkan.

Presidennya, N. Sivakumar berkata, pendekatan dialog terbuka dan inklusif amat penting bagi memastikan setiap pihak diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan serta kebimbangan mereka.

Menurutnya, isu melibatkan rumah ibadat dan sensitiviti agama perlu ditangani secara berhemah, berhati-hati serta mengutamakan semangat persefahaman dalam masyarakat majmuk.

“Pandangan dan pengalaman pihak pengurusan kuil amat penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara adil, praktikal serta menghormati realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Dalam isu seperti ini, pendekatan terbaik adalah melalui dialog terbuka, persefahaman dan penglibatan semua pihak berkepentingan agar tiada pihak berasa terpinggir atau tidak didengari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan garis panduan melibatkan rumah ibadat bukan Islam di Selangor yang mencetuskan pelbagai reaksi serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sivakumar berkata, komuniti Hindu melihat kuil bukan sekadar tempat ibadat, tetapi juga simbol warisan, budaya, identiti serta pusat komuniti masyarakat setempat.

Pada masa sama, beliau turut mengambil maklum penjelasan Kerajaan Negeri Selangor bahawa garis panduan tersebut melibatkan aspek perancangan, pengurusan lalu lintas, parkir dan pembangunan masa hadapan selain masih dalam proses semakan serta perbincangan.

Bagaimanapun katanya, sebarang pelaksanaan atau penguatkuasaan melibatkan rumah ibadat yang telah lama wujud perlu ditangani secara manusiawi dan melalui pendekatan penyelesaian bersama.

“Banyak rumah ibadat lama bukan sahaja menjadi tempat keagamaan, tetapi turut berfungsi sebagai pusat komuniti, kebajikan dan warisan masyarakat setempat yang telah wujud sejak puluhan tahun lalu.

“Perkara seperti ini perlu dilihat dengan sensitiviti dan keseimbangan antara pembangunan serta keharmonian sosial,” ujarnya.

Tambah beliau, sebarang garis panduan berkaitan rumah ibadat juga perlu dilaksanakan secara konsisten, adil dan tanpa pilih kasih selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

Katanya, isu berkenaan tidak wajar dipolitikkan atau dijadikan bahan untuk meniup sentimen perkauman dan keagamaan kerana ia hanya akan mengeruhkan keharmonian masyarakat.

Media sebelum ini melaporkan cadangan garis panduan berkaitan rumah ibadat bukan Islam di Selangor mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk komuniti Hindu yang mahu suara mereka didengari sebelum sebarang keputusan dibuat.

Kerajaan Negeri Selangor bagaimanapun menjelaskan garis panduan itu masih di peringkat semakan dan melibatkan aspek perancangan pembangunan, pengurusan lalu lintas serta parkir selain menegaskan ia bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast