KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ampang menolak cadangan DAP untuk mengembalikan syarat ekuiti Bumiputera bagi pelupusan hartanah bernilai tinggi oleh GLC dan GLIC daripada 50 peratus kepada 30 peratus.
Ketua Bahagiannya, Nor Hizwan Ahmad berkata, dasar itu bukan sesuatu yang melampau atau dibuat secara sewenang-wenangnya seperti digambarkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Sebaliknya, ujar beliau, ia adalah langkah penting untuk memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi strategik selaras dengan hakikat bahawa Bumiputera mewakili lebih 60 peratus daripada populasi Malaysia.
“Sekian lama, pemilikan Bumiputera dalam aset bernilai tinggi dan ekuiti korporat masih berada pada tahap yang rendah berbanding saiz populasi.
“Oleh itu, peningkatan syarat kepada 50 peratus adalah langkah wajar dan sudah lama diperlukan bagi mengurangkan jurang ekonomi yang masih wujud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Sehubungan itu, Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan peningkatan syarat tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ekosistem pelaburan serta amalan urus niaga hartanah berskala besar di negara ini.
Sementara itu, Nor Hizwan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah agensi berkaitan GLCD menambah, dakwaan bahawa dasar itu akan menakutkan pelabur hanya melihat kepada kesan jangka pendek.
Ini kerana, ujarnya, pelabur yang serius akan turut menilai kestabilan politik, keharmonian sosial dan kelestarian ekonomi jangka panjang dengan ekonomi yang lebih inklusif akan menghasilkan negara yang lebih stabil dan kukuh.
“Dasar ini juga hanya melibatkan pelupusan aset strategik bernilai lebih RM20 juta oleh GLC dan GLIC yang berkait rapat dengan kepentingan negara dan kekayaan awam.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan aset strategik ini turut menyumbang kepada agenda pembangunan ekonomi Bumiputera,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkukuhkan penyertaan ekonomi Bumiputera tidak seharusnya dianggap antipelaburan atau antiperniagaan.
Ini kerana, ujarnya, Malaysia dibangunkan melalui sumbangan semua kaum, namun dasar yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan Bumiputera dalam sektor strategik mesti terus dipertahankan.
Ujar beliau, sekiranya syarat 50 peratus itu ditarik balik, ia akan memberi isyarat bahawa kerajaan tidak serius dalam mempertahankan kepentingan ekonomi Bumiputera serta agenda pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.
“Kita perlu tegas dan konsisten dalam melaksanakan dasar jangka panjang yang mampu memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil, penyertaan Bumiputera yang lebih kukuh, serta pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.
“Ekonomi Bumiputera yang lebih kuat akan mengukuhkan Malaysia secara keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















