KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju untuk tidak menangguhkan urusan Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Sebaliknya jelas beliau, kerja-kerja penambahbaikan sistem dalam talian JPJ akan dilakukan semasa cuti panjang iaitu pada hujung minggu ini.
“Saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja-kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna-pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat-pejabat JPJ,” katanya menerusi kenyataan ringkas yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anthony Loke berkata, beliau dimaklumkan bahawa penambahbaikan tersebut susulan penyalahgunaan dan penipuan yang berlaku dalam sistem pertukaran hak milik yang menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung oleh JPJ.
“Justeru, JPJ perlu membuat penambahbaikan sistem dalam talian pada kadar yang segera,” ujarnya.
Semalam, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menerusi kenyataan berkata, penangguhan sementara semua urus niaga THM kenderaan secara dalam talian bermula hari ini.
Menurutnya, penangguhan merangkumi semua saluran digital termasuk portal awam, kiosk, serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Katanya, tindakan kawalan serta-merta itu diambil susulan beberapa aduan rasmi dan aduan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar. – MalaysiaGazette
















