Seramai 11 ahli kongsi gelap berkaitan dadah, tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng RT6' sejak 2020, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang `Geng RT6′ sejak enam tahun lalu.

Mereka ialah A. Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R. Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohammad Atiff Khan Mohammad Ali Khan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berusia 22 hingga 48 tahun selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang `GengRT6′ di Sentul antara 14 Januari 2020 dan 27 April lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Izralizam tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Jun depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan.

Tertuduh Raja Ratanam, Kumaaran dan Harichandran diwakili peguam Datuk Rajpal Singh manakala Sunthreson dan Suwaran Singh diwakili peguam, Eu Kah Mun.

Peguam M. Mathaven, Grace Francis dan Muhammad Izzhar Idris mewakili Vijayan serta peguam S. Kirthen dan S. Premila mewakili Maran.

Sementara itu, Kelvin Francis mewakili Vijaya Kumar, manakala Jenifer Irithiasamy mewakili Muhammad Atif manakala Nadarajah dan Raman pula tidak diwakili peguam.

Semalam media melaporkan polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai ‘Geng RT’ menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sekitar Lembah Klang, April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak tahun 2020 dan terlibat dalam aktiviti pemprosesan serta pengedaran pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, ganja dan ephedrine di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, JSJN telah menjalankan tindakan agresif terhadap kumpulan jenayah terancang itu sejak Disember 2025. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast