Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berucap pada Ceramah Pakatan Harapan pada Jelajah Pakatan Harapan Selangor Parlimen Kota Raja di Jalan Kebun, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MEI 2026.
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli wajar menjelaskan dakwaan ‘membeli’ Parti Bersama Malaysia (Bersama) berjumlah RM8.6 juta seperti yang dibuat pihak tertentu sebelum ini.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, jika benar wujud persoalan berkaitan dana itu yang dikaitkan dengan pengambilalihan atau pembelian parti Bersama, maka penjelasan sewajarnya perlu diberikan bagi mengelakkan pelbagai persepsi dan fitnah terus berlegar dalam masyarakat.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang parti Bersama itu sendiri. Itu hak beliau sama ada mahu beli, sewa secara bulanan atau ambil alih secara percuma.

“Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Rafizi dalam podcast beliau, Presiden parti Bersama ialah Syukri Razab yang juga merupakan bekas pegawai beliau di kementerian.

“Maka soalan tersebut lebih wajar ditujukan kepada Presiden parti Bersama sendiri untuk diberikan penjelasan secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bertindak menyiarkan semula video yang dimuat naik oleh pengguna aplikasi TikTok MayaAlesya yang mendakwa Rafizi telah “membeli” Parti Bersama dengan harga RM8.6 juta.

Dalam video tersebut, MayaAlesya telah mempersoalkan sumber dana Rafizi sambil turut menuduh bekas Ahli Parlimen Pandan itu menyimpan niat jahat terhadap PKR.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, dakwaan dana asing serius kerana melibatkan isu campur tangan pihak luar dalam kancah politik tempatan dan memberi ancaman kepada kedaulatan negara.

Rafizi juga sedang berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) berhubung urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion dengan melibatkan antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast