Lima premis makanan di Puchong Utama diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan dalam pemeriksaan dijalankan semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima premis makanan di sekitar Taman Perindustrian Puchong Utama diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati berada pada tahap kebersihan tidak memuaskan dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Perniagaan dan Premis Makanan yang dijalankan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), semalam.

Operasi melibatkan kawasan Jalan Utama 2/1 dan 2/2 itu dilaksanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan tahap kebersihan awam serta memastikan pematuhan syarat lesen dalam kawasan pentadbiran MBSJ.

MBSJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan premis dilakukan selepas pemeriksaan mendapati premis terbabit memperoleh Gred D susulan penemuan najis tikus, stor makanan kotor, pengendalian makanan tidak mengikut piawaian serta kegagalan menyediakan dokumen kawalan makhluk perosak.

“Sebanyak 15 premis makanan telah diperiksa dan enam Notis Tawaran Kompaun (NTK) turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk gagal memakai apron dan penutup kepala, tiada pemasangan grease trap serta pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan antitifoid,” katanya.

Operasi tersebut melibatkan kerjasama beberapa jabatan dalaman MBSJ termasuk Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Bangunan dan Jabatan Pelesenan.

Turut terlibat ialah agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Indah Water Konsortium (IWK).

Menurut MBSJ, hasil operasi mendapati terdapat premis gagal mematuhi syarat lesen perniagaan, mempunyai tahap kebersihan yang tidak memuaskan selain pengurusan sisa yang lemah.

“Secara keseluruhan, sebanyak 22 NTK telah dikeluarkan membabitkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, kesalahan iklan dan pelanggaran syarat lesen perniagaan.

“Empat tindakan sitaan turut dilaksanakan membabitkan peralatan penjaja dan barangan premis manakala sebuah premis diarahkan tutup kerana gagal mematuhi undang-undang kecil ditetapkan MBSJ,” katanya.

Dalam operasi sama, MBSJ turut merobohkan binaan ramp dan slab tanpa kebenaran melibatkan sebuah premis cuci kereta dan sebuah kedai runcit.

Selain itu, sebanyak 57 daripada 79 premis di kawasan operasi diperiksa dengan empat lagi NTK dikeluarkan berkaitan kesalahan pengurusan sisa dan pencemaran kawasan industri.

SSM turut mengambil tindakan kompaun terhadap beberapa premis atas kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 dan Akta Syarikat 2016.

MBSJ dalam pada itu menyeru semua pemilik premis dan pengusaha perniagaan supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, menjaga kebersihan premis dan memastikan pengurusan sisa dilaksanakan secara sistematik demi mewujudkan persekitaran bandar yang selamat, sihat dan lestari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast