KUALA LUMPUR – Laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, perkara itu dijangka diteliti dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan, kata, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kebiasaannya laporan tahunan SUHAKAM akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan oleh kerajaan.
“Perkara itu tidak dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sama ada minggu lalu atau minggu ini. Biasanya laporan tahunan SUHAKAM akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.
“Kita akan teliti sama ada isu ini akan dibawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan. Sementara itu, boleh juga dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai 2026, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak-pihak berkaitan bagi meneliti laporan SUHAKAM berhubung insiden provokasi prospek yang berlaku di Penjara Taiping, tahun lalu.
Jabatan itu berkata, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh, terperinci dan berintegriti, demi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Tambahnya, jabatan itu memandang serius setiap dapatan, syor serta perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan, termasuk dakwaan yang mengaitkan aspek pengurusan dan kakitangan penjara dalam insiden tersebut.
Mengulas lanjut, Fahmi yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, kerajaan sememangnya mengambil serius dapatan yang dikemukakan SUHAKAM dan akan meneliti perkara berkenaan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Di pihak kerajaan, kita sepatutnya prihatin terhadap dapatan SUHAKAM dan insya-Allah kita akan teliti sepenuhnya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Fahmi menegaskan, perkara berkaitan aspek ketenteraan, latihan, eksesais serta perkara melibatkan perlembagaan telahpun dijelaskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, orang ramai juga sedia maklum mengenai kenyataan yang telah dikeluarkan MKN berhubung perkara tersebut.
“Saya menjunjung kasih atas titah Pemangku Sultan Johor.
“Dalam perkara ini, umum juga sedia maklum dengan kenyataan yang telah dibuat Majlis Keselamatan Negara terutama berkaitan aspek ketenteraan, latihan, eksesais dan juga aspek perlembagaan,” katanya.
Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail amat dukacita apabila terdapat pihak tertentu cuba mempergunakan institusi ketenteraan demi kepentingan peribadi atau sekadar untuk meraih perhatian dan populariti dalam media sosial.
Baginda bertitah, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara sedemikian, seseorang itu seharusnya memahami terlebih dahulu Perlembagaan Persekutuan termasuk perbezaan antara negeri bersekutu dan negeri tidak bersekutu.
Tunku Ismail bertitah, baginda berdiri teguh bersama-sama ATM dan sokongan yang tidak berbelah bahagi akan sentiasa bersama-sama anggota tentera negara dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette
















