Seorang lelaki maut manakala enam cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas Tasek Temoh, Tapah awal pagi tadi. Foto JBPM Perak.

TAPAH – Seorang lelaki maut manakala enam cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas Tasek Temoh di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.39 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu BBP Kampar digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, jentera tiba pada jam 2.57 pagi dengan jarak lokasi kejadian kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang dinaiki dua lelaki berusia 29 dan 40 tahun dengan sebuah MPV jenis Chevrolet dinaiki dua lelaki serta tiga wanita berusia antara 19 hingga 66 tahun.

“Ketua operasi melakukan penilaian di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Anggota bertindak menggunakan peralatan peralatan pemotong penyelamat untuk membuat renggangan pada kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung.

“Seorang mangsa cedera ringan dan seorang mangsa cedera parah dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum ketibaan ambulans.

“Empat lagi mangsa cedera parah diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, seorang mangsa lelaki berusia 29 tahun yang menaiki kereta Proton Saga FLX disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi berjaya dikawal kira-kira jam 3.24 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 4.07 pagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast