Barisan MOTAC di Shangai malam tadi diketuai Datuk Seri Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh hubungan industri pelancongan dengan China menerusi penyertaan aktif negara dalam ITB China 2026 (Internationale Tourismus-Börse) dan penganjuran Malaysia Night 2026 di Shangai, China malam tadi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, acara itu menjadi platform penting untuk Malaysia bertemu rakan industri pelancongan antarabangsa selain meneroka peluang kerjasama baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurutnya, sambutan dan sokongan berterusan pemain industri luar negara membuktikan Malaysia masih kekal sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa.

“Kehadiran delegasi pelancongan Malaysia di Shanghai bagi ITB China 2026 serta siri acara perniagaan berkaitan menunjukkan komitmen jelas negara terhadap pasaran China.

“Ia sekali gus memberi momentum positif kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

King Sing perhebat promosi Tahun Melawat Malaysia di China.

Beliau berkata, China kekal sebagai antara pasaran pelancongan terbesar Malaysia dengan peningkatan ketara jumlah pelawat direkodkan tahun ini.

Katanya, sehingga Mei lalu, sebanyak 744 penerbangan mingguan beroperasi antara Malaysia dan China melibatkan hampir 150,000 kapasiti tempat duduk.

“Bagi suku pertama tahun ini, Malaysia menerima 1.4 juta pelawat dari China, meningkat 25.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” dedah beliau.

King Sing berkata, kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian budaya, warisan dan keunikan setiap negeri yang menawarkan pengalaman berbeza kepada pelancong.

Menurutnya, Pulau Pinang terkenal dengan warisan dan seni jalanan di George Town, manakala Melaka menawarkan sejarah serta budaya Peranakan yang kaya.

Katanya lagi, Negeri Sembilan pula menampilkan identiti Minangkabau, sementara Sabah dan Sarawak menjadi tarikan menerusi keindahan alam semula jadi, hutan hujan tropika, hidupan liar serta budaya masyarakat pribumi.

“Semua keunikan ini mencerminkan kepelbagaian Malaysia dan keramahan rakyatnya,” katanya lagi.

Untuk makluman, ITB berfungsi sebagai platform pemasaran antarabangsa utama untuk mempromosikan destinasi Malaysia kepada pelancong asing, pengusaha pelancongan (travel agent), dan media global. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast