Shaifirol sudah dibenarkan pulang dari hospital dan kini berehat di rumahnya di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang mandur ladang ditanduk kerbau dalam program korban di Batu 19, Kampung Sungai Tiram di sini pada Rabu lalu tidak serik atau trauma walaupun sudah patah tulang rusuk.

Shaifirol Shahlan, 45, yang dibenarkan pulang dari hospital malam semalam tidak menolak akan terus membantu aktiviti korban di kampung itu.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia hadir ke pusat penyembelihan itu pukul 1 petang untuk melihat program korban sebelum diserang kerbau tersebut secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku sekelip mata, saya memang tak sempat lari. Saya datang cuma nak tengok sahaja sebab tiap-tiap tahun memang orang bagi daging korban.

“Masa kejadian saya nampak kerbau tiba-tiba melulu ke arah saya. Saya cuba lompat tali untuk elak tetapi tak lepas sebelum kerbau itu melambung saya sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Batu 20 Kampung Sungai Tiram di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Shaifirol mengalami patah tiga tulang belakang selain melecet pada badan dan tangan akibat terkena tali.

Katanya, ketika kejadian merupakan kerbau kelima yang hendak disembelih dan tidak pasti kenapa kerbau berkenaan bertindak ‘naik minyak’.

“Semuanya berlaku terlalu pantas. Selepas kena tanduk dan dilambung, nafas saya jadi pendek-pendek tidak boleh bernafas normal. Sebaik sampai hospital doktor buat imbasan dan beri oksigen baru nafas kembali seperti biasa.

“Saya juga diberi cuti sakit selama dua minggu. Mujur kecederaan patah tulang itu tidak terlalu teruk dan doktor kata boleh sembuh sendiri.

“Cuma sekarang saya tidak boleh tidur baring seperti biasa dan kena duduk di kerusi tinggi supaya mudah nak bangun,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu turut menasihatkan mana-mana pihak yang membuat aktiviti korban supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengutamakan keselamatan agar kejadian menimpanya tidak berulang.

Terdahulu, tular dalam media sosial video memaparkan seorang lelaki ditanduk seekor kerbau ketika proses korban dijalankan di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast