KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Bahagian Kangar menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menjatuhkan hukuman sebelum siasatan lengkap dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung insiden menembak lembu korban membabitkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fadzil Nor Abd Manan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kes itu kepada agensi yang berkaitan dan yakin tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya mengambil perhatian terhadap penjelasan yang telah dikeluarkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung hukum dan kaedah penyembelihan haiwan menurut syarak.
Tegasnya, penjelasan tersebut wajar dihormati dan dijadikan rujukan dalam memahami isu ini daripada perspektif hukum Islam.
“Perkara berkaitan hukum agama hendaklah dirujuk kepada pihak yang berautoriti, manakala aspek siasatan dan penguatkuasaan pula hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Armada Bersatu Bahagian Kangar turut menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Abu Bakar dalam memastikan isu itu ditangani secara telus, profesional dan mengikut lunas undang-undang.
Ujar beliau, pihaknya percaya setiap pihak perlu menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung serta mengelakkan kenyataan berbaur fitnah, provokasi atau tuduhan melulu yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.
“Justeru, kami menyeru seluruh rakyat agar bertenang, menghormati proses perundangan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka sehingga siasatan selesai.
“Keadilan hendaklah ditegakkan berasaskan fakta, bukti dan keputusan pihak yang berautoriti, bukannya melalui persepsi atau sentimen yang dimainkan di media sosial,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan merampas selaras senapang dan sembilan butir peluru dipercayai digunakan dalam insiden tembakan terhadap seekor lembu yang mengamuk di Kuala Perlis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tembakan itu dilepaskan selepas lembu berkenaan mengamuk dan didakwa mengancam keselamatan petugas serta orang awam di lokasi program. – MalaysiaGazette















